Militan Negara Islam (IS) dilaporkan berundur dari beberapa kawasan di bandar Kobani yang terletak bersempadan antara Syria dan Turki.

Ini berikutan penggempuran tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat yang membedil kedudukan kumpulan mereka sepanjang malam semalam.

Militan IS dikatakan meninggalkan kawasan di timur Ain al-Arab atau Kobani dan barat daya bandar berkenaan selepas serangan udara memusnahkan empat kenderaan mereka.

Kumpulan itu kemudiannya berkumpul semula di bahagian timur dan selatan bandar strategik itu tetapi tidak berada pada kedudukan barat kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pesawat pakatan antarabangsa melancarkan serangan udara baru terhadap sasaran militan IS di sekitar bandar Kobani di sempadan Syria sejak semalam.

Menurut wartawan AFP di lokasi kejadian, asap hitam tebal memenuhi ruang udara dari arah bukit di timur Kobani.

Ini adalah serangan udara pertama disaksikan selepas beberapa serangan bermula semalam.

Sebelum ini, sebuah helikopter tentera Iraq ditembak jatuh oleh militan IS berhampiran bandar Beiji.

Serangan itu mengorbankan kedua-dua juruterbangnya.