Sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan bola sepak JDT dan seorang jurufoto akhbar NSTP cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam kekecohan yang berlaku di Stadium Perak di Ipoh malam tadi.

Kekecohan berlaku selepas tuan rumah, Perak kalah 0-1 kepada pasukan pelawat 'The Southern Tigers' dalam saingan Liga Super.

Ketika penyokong JDT berada di tengah padang bagi meraikan kemenangan itu, provokasi tercetus sehingga menyebabkan para penyokong kedua-dua pasukan saling membaling botol minuman selain turut melontar mercun.

Setengah jam kemudian, kira-kira 1,000 penyokong JDT diarahkan oleh pihak keselamatan untuk berkumpul di tengah padang sebagai langkah keselamatan selama hampir satu jam.

Sementara itu, jurufoto NSTP yang cedera, Supian Ahmad, 36, mendakwa beliau diserang penyokong JDT di tengah padang selain dipijak di beberapa bahagian badan.