Sekumpulan penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Taman Desa Ilmu di sini malam tadi, gempar apabila seekor buaya kira-kira dua meter panjang, melintas di jalan kawasan penginapan mereka.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima laporan daripada penghuni Apartment Rafflesia mengenai penemuan itu pada kira-kira 10.26 malam.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikejarkan ke lokasi.

"Bagaimanapun sebaik sahaja pasukan bomba sampai di tempat kejadian, buaya tersebut dilaporkan sudah tiada, dipercayai masuk semula ke dalam parit berhampiran apartmen itu," katanya di sini hari ini.

Farhan Sufyan berkata, pihaknya sudah memaklumkan kes itu kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut. - Bernama