Pyongyang menghantar delegasi peringkat tinggi untuk menuntut mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Bekas timbalan duta Korea Utara ke PBB, Ri Ton-il, adalah salah seorang anggota delegasi berkenaan yang tiba di Kuala Lumpur.

Kata Ton-il, kunjungan mereka ke negara ini adalah untuk "membincangkan penyerahan mayat seorang warga Korea Utara yang mati di Malaysia".

Selain itu, katanya, delegasi terbabit juga akan mendapatkan pembebasan seorang rakyat negara berkenaan yang ditahan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam berkenaan, selain membina hubungan mesra antara Korea Utara dan Malaysia.

"Tujuan lawatan ini adalah untuk menyelesaikan isu kemanusiaan.

"Sepanjang tempoh delegasi DPRK (Korea Utara) ini, ia akan membincangkan isu berkaitan dengan pegawai kerajaan yang berkenaan," kata Ton-il kepada media di luar Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Polis Malaysia menahan dua wanita masing-masing warga Indonesia dan Vietnam selain dua lelaki dengan setiap seorang rakyat Malaysia dan Korea Utara berhubung pembunuhan Jong-nam.

Suspek warga Malaysia itu sudah dibebaskan manakala dua wanita terbabit dijangka didakwa atas tuduhan membunuh esok. Lelaki Korea Utara itu masih ditahan polis.

Empat lagi warga Korea Utara sedang diburu pihak berkuasa Malaysia ketika mereka dipercayai sudah berada di Pyongyang.

Polis Diraja Malaysia juga mahu menyoal siasat seorang kakitangan kedutaan Korea Utara dan seorang pegawai syarikat penerbangan Air Koryo.