Susulan perdebatan isu kad merah yang dikenakan pengadil perlawanan kepada pemain Kedah Rizal Ghazali, FAM mempertahankan tindakan itu sebagai wajar.

Pada aksi Liga Super antara Kedah dan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu lalu, pemain tuan rumah, Fakhrurazi Musa melakukan kekasaran yang disusuli tindak balas Rizal terhadapnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadilnya, Subkhiddin Mohd Salleh berkata, dalam insiden itu terdapat dua kesalahan yang berlaku melibatkan kedua-dua pemain pada satu tempoh masa yang sama.

"Pemain T-Team diberikan kad kuning atas kesalahan ‘reckless tackle’, manakala Rizal diberikan kad merah kerana kesalahan berkelakuan ganas, apabila beliau bertindak memukul pemain lawan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada perlawanan kesembilan musim ini itu, T-Team meleburkan rekod tanpa kalah pasukan skuad Helang Merah.

Malah, Kedah dibelasah 5-0 – suatu keputusan yang tidak dijangkakan ramai pihak.

Subkhiddin yang juga bekas pengadil Piala Dunia berkata, selepas insiden itu pengadil memulakan semula perlawanan dengan sepakan percuma terus diberikan kepada pasukan Kedah.

"Setelah meneliti video, saya dapati kedua-dua pemain berpeluang untuk memainkan bola tetapi sudah tentu dalam corak yang berlainan.

"Pemain Kedah berpeluang untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukan secara adil, manakala pemain T-Team pula berusaha untuk menghalang pergerakan pemain Kedah," katanya.

Malangnya tambah Subkhiddin, usaha pemain T-Team tersasar dan tindakan bentes melulu yang dilakukannya hampir mengenai tepat ke kaki pemain lawan.

Menurutnya, pengadil sudah tentu perlu melayangkan kad merah jika sekiranya cabaran dengan kaki (kasut bola berstud) mengenai tepat ke bahagian kaki pemain Kedah.

"Bagaimanapun pada insiden berkenaan cabaran yang dilakukan oleh pemain T-Team tidak seperti yang dimaksudkan, ia sama ada tersasar atau hanya mengenai sebahagian kecil sahaja.

"Jadi, tindakan pengadil adalah tepat apabila memberikan kad merah kepada pemain Kedah (kesalahan berkelakuan ganas) dan kad kuning kepada pemain T-Team disebabkan kesalahan 'reckless' yang dilakukan sewaktu melakukan cabaran terhadap pemain lawan," jelasnya.