Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian samun berparang di sebuah restoran di Taman Melawati yang kini tular dalam media sosial, untuk tampil membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata polis kini menjalankan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari restoran berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pada 9.30 malam Sabtu, enam lelaki bersenjatakan parang dan memakai topi keledar meluru masuk ke premis berkenaan dengan mengacukan parang sebelum mengarahkan mangsa untuk menyerahkan barangan berharga.

Mangsa antaranya ialah pekerja serta pelanggan restoran itu dan kerugian dialami sebanyak RM29,745.

"Suspek turut mengambil wang tunai daripada peti tunai kedai berkenaan sebelum bertindak melarikan diri.

"Kejadian berlaku dalam masa yang singkat. Bagaimanapun, rakaman CCTV telah diambil dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Rakaman kejadian berdurasi satu minit dua saat itu telah mula tular di laman sosial Facebook dan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.