Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi tempoh 24 jam kepada aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin untuk menarik balik dakwaan mengatakan sebuah surau di negeri itu telah digunakan bagi acara politik.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata. dakwaan dibuat Badrul tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap institusi diraja serta institusi Islam di Selangor.

"Kegagalan penulis blog berkenaan berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia atau didakwa di bawah Akta Fitnah 1957," katanya dalam kenyataan media.

Beliau merujuk artikel bertajuk "Pertanyaan Terbuka Buat Istana Selangor" bertarikh 6 Jun lalu yang disiarkan di blog Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Antara lain, Chegubard mendakwa PAS kawasan Kota Raja telah menyalahgunakan kemudahan di Surau Al-Falah di Jalan Kebun dengan mengadakan progam pemukiman untuk pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, PAS kawasan itu menafikan perkara itu dan menyifatkan dakwaan bekas anggota PKR yang dipecat itu sebagai “fitnah”.

Menurut Mohamad Adzib, berdasarkan siasatan yang dibuat, surau tersebut telah ditutup selepas Masjid al-Falah beroperasi sejak 30 Mac 2017.

"Bangunan surau berkenaan kini ditukar fungsinya sebagai pusat ilmu dan kegiatan masyarakat dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor, yang dibuka untuk sewaan bagi program-program untuk menampung kos operasi masjid.

"Ini jelas menunjukkan penulis blog tidak menyemak terlebih dahulu tentang fakta yang ditulisnya," ujarnya.

Sehubungan itu MAIS menasihati umat Islam di Selangor menyemak kesahihan sesuatu fakta sebelum menyebarkannya di laman sosial, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Malaysiakini sedang menghubungi Chegubard bagi mendapatkan reaksi.