Kerajaan Amerika Syarikat mengemukakan permohonan di mahkamah bagi merampas sebuah ‘penthouse’ di London yang didakwa diperolehi dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli ‘penthouse’ berkenaan, sebuah bangunan pejabat dan sebuah lagi pangsapuri, yang semuanya terletak di daerah Mayfair dengan membelanjakan £77 juta Euro milik firma pelaburan negara itu.

Ini adalah menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada 7 Jun oleh Jabatan Keadilan (DOJ) di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi daerah California Tengah.

Pada Julai 2016, DOJ memfailkan saman sivil pelucuthakan di Los Angeles bagi memohon kebenaran merampas hartanah bernilai kira-kira AS$1 bilion yang berkaitan dengan dana 1MDB.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha bagi mendapatkan semula AS$3.5 bilion yang dikatakan telah diselewengkan daripada 1MDB.

Hartanah di London itu adalah yang terbaru menjadi sasaran penyitaan oleh DOJ yang bertaburan di seluruh dunia.

Peguam bagi keluarga Low telah berkata mereka akan mencabar saman sivil pelucuthakan di Amerika Syarikat itu.

Dalam saman pelucuthakan yang difailkan pada Julai 2016, DOJ mendakwa "Malaysian Official One (MO1)" menerima AS$ 731 juta yang berasal dari firma yang bermasalah itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata 1MDB tidak terbabit secara langsung dalam saman DOJ itu.