Peguam Zulhazmi Shariff mempersoalkan bagaimana Tan Sri Isa Samad boleh dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta merta sedangkan Isa bukan anggota suruhanjaya itu.

"Mengikut Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714), Menteri yang dipertanggungjawabkan dengan Pengangkutan Awam Darat hendaklah melantik seorang Pengerusi, seorang Ketua Pegawai Eksekutif, tidak lebih 5 orang wakil Kerajaan dan tidak kurang daripada 3 orang tetapi tidak lebih daripada 5 orang anggota lain yang pada pendapat Menteri mempunyai pengetahuan dan pengalaman dan menunjukkan keupayaan dan profesionalisme dalam perkara yang berhubungan dengan pengangkutan awam darat untuk menganggotai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

"Pengerusi dan seluruh anggota Suruhanjaya kecuali Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik oleh Menteri hendaklah memegang jawatan selama tidak lebih 3 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Anggota Biro Guaman DAP Kedah itu juga berkata turut mempertikaikan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh mengumumkan pelantikan jawatan Isa tanpa mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada, di mana jawatan Pemangku Pengerusi SPAD tidak ada dalam akta 714.

Selain itu, katanya, Akta 714 juga telah memperuntukkan dengan jelas bahawa Menteri boleh melantik mana-mana anggota Suruhanjaya untuk berfungsi sebagai Pengerusi dalam keadaan jawatan Pengerusi kosong, Pengerusi tidak hadir bertugas atau tidak ada di Malaysia, atau Pengerusi tidak dapat melaksanakan kewajipan jawatannya.

Bekas pengerusi SPAD selama tujuh tahun, Tan Sri Syed Hamid Albar pula telah bersara pada 3 Jun lalu.

Semalam, Najib mengumumkan pelantikan Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD berkuat kuasa serta merta bagi menghargai peranan Isa dalam FGV.