Parti pembangkang akan mengadakan perhimpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi pada September ini sebagai reaksi mereka kepada saman sivil terbaru Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dalam isu 1MDB.

Langkah itu adalah satu daripada rancangan diatur Jawatankuasa Bertindak 1MDB yang baru dibentuk bagi menyelaras reaksi parti-parti pembangkang ketika menangani isu syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Pengerusi penaja jawatankuasa bertindak itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata langkah itu adalah cara mereka mendekati rakyat dengan isu 1MDB.

"Kita nak pergi kepada rakyat. Kadang-kadang rakyat tidak berasakan isu 1MDB ini ada kaitan dengan mereka," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di parlimen hari ini.

Turut hadir, wakil dari PKR, DAP, Parti Amanah Negara, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Parti Warisan Sabah yang diketuai bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikatakan turut menyokong cadangan mengadakan perhimpunan itu tetapi tidak dapat menghantar wakilnya hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga anggota parlimen Permatang Pauh berkata, mereka akan turun ke peringkat akar umbi menjelaskan isu 1MDB melalui siri penerangan kepara orang ramai.

Kempen untuk mengajak orang ramai hadir ke perhimpunan itu akan dilancarkan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 6 Julai ini.

Ditanya mengenai kedudukan PAS yang dianggap pengkritik kini semakin lunak dengan Umno, Dr Wan Azizah berkata, pihaknya menghantar surat kepada parti itu tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.