Pasukan di tangga teratas Liga Super, JDT tewas 2-3 berdepan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi ketiga saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2017 malam tadi.

Sentuhan bekas penyerang Harimau Selatan, Amri Yahyah yang kini bersama skuad The Red Giants muncul sebagai hero pasukannya sekali gus membawa Selangor mendahului kumpulan D.

Selangor membuka jaringan pada minit ke-33 melalui Fairuz Abd Aziz sebelum Amri menambah jaringan kedua dua minit berselang.

Kedudukan 2-0 bagaimanapun berubah pada separuh masa kedua, selepas JDT bangkit menyamakan kedudukan.

Ahmad Hazwan Bakri yang juga bekas penyerang Selangor tampil merapatkan jurang gol pada minit ke-56 sebelum gol penyamaan hadir melalui sentuhan Darren Lok pada minit ke-69.

Namun, kedudukan 2-2 itu berakhir di penghujung tempoh 90 minit perlawanan apabila Amri berjaya membenam bekas pasukannya dengan menghadiahkan gol kemenangan membolehkan skuad kendalian P Manian meraih tiga mata penuh.