Single 'Masih Milikmu' tampilkan bunyi Somporing, saksofon dari buluh

KUALA LUMPUR: Phillipus Jani, 44, merupakan pencipta Somporing - sebuah saksofon unik yang diperbuat sepenuhnya dari buluh.

Dia merupakan salah satu daripada peserta pameran di WIF-KL 2013 dan akan membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Gala WIF-KL 2013 bersama-sama dengan Adi dari kumpulan 6ixth Sense.

Phillipus ditemui oleh Yayasan Inovasi Malaysia melalui Jejak Inovasi pada tahun 2011.

Semangat untuk bermain saksofon bermula pada tahun 1993 apabila beliau meminjam instrumen tersebut dari seorang rakan.

Oleh kerana tidak tahu bagaimana untuk bermain, Phillipus mengembalikan instrumen tersebut seminggu kemudian, tetapi bunyi instrumen tersebut terus bermain dibenaknya.

"Ia adalah seperti jatuh cinta. " katanya, dan kerana rasa cinta itu, Phillipus mencipta alat daripada buluh- bahan yang lebih murah dan memanggilnya Somporing .

Ia mengambil masa 13 tahun untuk memperincikan ciptaannya. Inovasi ini adalah lebih ringan dan lebih mudah untuk bermain berbanding dengan saksofon normal.

Sehingga kini, Phillipus telah menjual 78 unit Somporing untuk pasaran di Eropah, Jepun dan Korea.

Sebagai seorang peminat muzik dan artis, ia adalah perkara biasa bagi Phillipus untuk bergerak ke tahap yang seterusnya, iaitu menghasilkan single sendiri.

Melalui Program Makeover di bawah Yayasan Inovasi Malaysia dan dengan kerjasama Universal Music Malaysia, single pertama beliau 'Masih Milikmu' yang menampilkan penyanyi tempatan Adi Priyo daripada 6ixth Sense dihasilkan.