Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan bahawa ucapannya ketika pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini bertujuan menggalakkan budaya samseng dalam kalangan anggota parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata ia bertujuan menaikkan semangat jentera parti untuk memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Bukan niat dan maksud saya menggalakkan budaya samseng dan keganasan. Saya cuma mahu menaikkan semangat Pemuda BN supaya bergerak untuk menggempur tempat-tempat dan memangkah atau menidakkan fitnah-fitnah. Bukan sampai bergaduh. Itu bukan cara kita.

"Saya banyak berkias dan ibaratkan terbalikkan meja. Maksud saya ialah gerakkan jentera dan Pemuda BN serta gempur tempat-tempat yang kita fikir ada isu yang perlu ditangani segera.

“Saya hendak mereka jangan duduk diam sahaja. Bergerak dan sanggah mereka. Itu maksud saya. Bukanlah secara fizikal terbalikkan meja," katanya kepada pemberita di Seremban.

Mengulas lanjut, beliau memohon maaf jika ada pihak yang salah tafsir cakapnya.

"Saya bukan buat apa-apa ugutan, saya cuma minta Pemuda BN keluar dan gempur isu-isu termasuk di kedai kopi. Kadang-kadang kita bergurau tapi orang punya tafsiran salah," katanya. - BERNAMA