Umno perlu kekal sebagai parti untuk orang Melayu untuk terus mewakili kaum itu, kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.

Razlan berkata, perkataan 'Melayu' dalam nama United Malays National Organization - nama penuh Umno - tidak boleh diubah kepada 'Malaysia'.

"Tak boleh buka (keahlian) Umno kepada kaum lain, kecuali kita wujudkan satu lagi 'payung' (parti) untuk semua kaum berlindung.

"Sebelum ini berpayung bawah naungan BN, kita terima kepelbagaian dalam perbincangan melalui (gabungan) BN," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin agar parti itu perlu menimbang untuk membuka keahliannya kepada kaum lain, susulan kekalahannya dalam PRU ke-14.

Walaupun tidak setuju dengan cadangan itu, beliau tetap sependapat dengan Khairy tentang keperluan penjenamaan semula Umno dan BN, kerana baginya Pakatan Harapan telah berjaya 'membunuh' jenama itu.