Bank Jepun dilaporkan "agak positif" terhadap permintaan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman mudah dalam mata wang Jepun, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Walau bagaimanapun, beliau berkata bank-bank belum lagi memberi respons rasmi berhubung permintaan itu kerana beliau hanya menemui mereka mengenai permintaan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa hari lalu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya pagi ini.

Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Dr Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh bulan lalu, mendapati hutang kerajaan persekutuan mencecah RM1 trilion, dan berusaha menurunkan paras berkenaan.

Menurut perdana menteri, kredit yen itu sebagai pinjaman mudah akan menolong membantu negara untuk tangani masalah hutang negara yang besar.