Musa Safri, bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi perdana menteri dinamakan dalam laporan polis bagi siasatan baru ke atas pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Laporan polis itu dibuat oleh bapa mendiang Altantuya, Setev Shaariibuu. Peguamnya Ramkarpal Singh menegaskan setakat ini tiada sesiapa yang dinamakan sebagai suspek dalam laporan itu.

Musa merupakan orang atasan kepada bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya.

Musa sebelum ini dikatakan memberitahu Azilah dan Sirul untuk berjumpa rakan rapat Najib, Razak Baginda yang dipanggil membantu siasatan polis selepas dikatakan diganggu kekasihnya Altantuya.

Musa tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan dan Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan kenyataannya tidak penting dalam kes itu.

Ramkarpal sebelum ini berkata terdapat petunjuk baru dalam kes berkenaan yang hanya akan didedahkan apabila polis memulakan siasatan.

Altantuya, 28, dibunuh dan mayatnya diletupkan pada Oktober 2006.

Azilah dan Sirul disabitkan bersalah pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung. Mereka kemudian dibebaskan selepas mahkamah rayuan menolak sabitan pada 2013.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 kemudian mengekalkan hukuman gantung mereka. Sirul telah melarikan diri ke Australia sementara Azilah sedang menunggu hukuman.