Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan beliau tidak mengenali wanita Mongolia yang dibunuh dua anggota unit elit polis suatu ketika dulu, Altantuya Shaariibuu.

Kenyataan Najib itu disiarkan agensi berita Reuters selepas bapa Altantuya, Setev Shaariibuu - yang bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad - cuba memujuk kerajaan membuka semula siasatan kes pembunuhan berkenaan.

Dr Mahathir sudah menyatakan persetujuannya.

Bagaimanapun, pada pandangan Najib kes berkenaan sudah diuruskan dan telah ditangani.

Kata Najib, tidak ada sebarang bukti beliau pernah bertemu dengannya mahupun saksi yang mengatakan Najib pernah mengenal Altantuya.

Najib juga telahpun bersumpah sebelum ini di dalam sebuah masjid bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan kes berkenaan.

Altantuya ditembak mati pada 2006 dan mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan peledak yang biasanya hanya dimiiki oleh tentera.

Wanita terbabit berusia 28 tahun semasa dia dibunuh.

Dua anggota polis yang pernah berkhidmat sebagai pengawal peribadi Najib - ketika itu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri - ditahan, dibicarakan dan disabitkan atas kesalahan membunuh Altantuya.

Mereka ialah Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar. Kedua-dua mereka dijatuhi hukuman mati namun Sirul melarikan diri dan kini ditahan pihak berkuasa imigresen Australia.

Pada 20 Jun Setel turut membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa membuka semula kes berkenaan dan memetik nama seorang bekas pembatu Najib, Musa Safri.

Nama Musa pernah muncul semasa pihak berkuasa menyiasat kes pembunuhan Altantuya namun pendakwa enggan memanggilnya untuk memberi keterangan.