Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mustahil bagi perdana menteri sebelumnya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu akan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwanya dalam wawancara baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata tanda tangan Najib terdapat pada semua dokumen melibatkan perbadanan dana negara itu.

"Siapa mahu percayakan beliau bahawa beliau tidak tahu apabila beliau menurunkan tandatangan (namanya)? Setiap wang yang masuk dan keluar bagi pinjaman pertama sebanyak RM42 bilion, semua mengandungi tandatangan beliau.

"Jika beliau tidak tahu, semestinya beliau tidak faham apa makna tandatangan," kata Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif dengan Malay Mail yang diterbitkan akhbar harian itu hari ini.

Temu bual itu sebagai respons kepada wawancara eksklusif dengan Reuters yang diterbitkan oleh agnesi berita itu pada Rabu.

Dalam wawancara dengan Reuters, Najib dipetik sebagai berkata beliau tidak mendapat faedah daripada 1MDB kerana beliau percaya perbadanan itu ditubuhkan untuk berbuat sesuatu yang baik untuk negara.

"Jika saya tahu akan berlaku penyelewengan dana, jika saya mengetahuinya, saya pasti akan ambil tindakan," katanya dipetik sebagai berkata demikian.

Najib turut dipetik oleh Reuters sebagai berkata kira-kira US$681 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah, daripada apa yang diketahuinya, ialah derma daripada almarhum Raja Arab Saudi, mendakwa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang mana-mana transaksi melibatkan akaun peribadinya kerana beliau telah melantik Nik Faisal Ariff Kamil, ketika itu ialah pengarah SRC International, bekas unit 1MDB, untuk mengendalikannya.

Berhubung perkara itu, Dr Mahathir memberitahu Malay Mail bahawa adalah tidak munasabah untuk seseorang mengarahkan RM2 bilion (US$681 juta) dimasukkan ke dalam akaunnya tetapi enggan dimaklumkan tentang soal wang itu.

"Ini tidak munasabah. Kerana saya perlu tandatangan untuk gunakan wang itu. Untuk menggunakan wang itu, saya perlu keluarkan cek. Najib selalu mengandaikan yang rakyat adalah bodoh," katanya.

Dr Mahathir mendakwa terdapat dokumen untuk membuktikan sebaliknya apa yang dikatakan oleh bekas perdana menteri.

"Kami ada semua itu. Kami tahu berapa banyak wang yang masuk ke dalam akaunnya," kata Dr Mahathir.

1MDB dilaporkan mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion sejak ditubuhkan pada 2009.

Perdana Menteri sebelum ini memberitahu Reuters bahawa tangkapan pertama dalam kes 1MDB dijangka dibuat dalam beberapa bulan lagi dan "diharapkan " perbicaraan akan bermula menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA