Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini memberi keterangan secara sukarela bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi menaiki kereta Audi dan ditemani oleh seorang lelaki yang merupakan anggota keluarganya.

Pada Mei lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu bersedia memberi keterangan berhubung kes yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB bermula sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.