Bagi calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, semua Ahli Majlis Tertinggi Umno perlu dipertanggungjawabkan atas kalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Tengku Razaleigh berkata ini kerana ia merupakan tanggungjawab kolektif kepimpinan tertinggi parti itu.

Oleh itu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata Majlis Tertinggi Umno harus bertanggungjawab dalam perkara itu.

"Orang ramai pun kata Umno tak cacat cuma ada sesetengah pimpinan barang kali yang telah menyebabkan kita kalah.

"Tetapi, saya nak kata kolektif (sebagai satu pasukan) semua pemimpin yang berada di Majlis Tertinggi (MT) harus bertanggungjawab terhadap perkara tersebut dan mereka tak boleh lari daripada tanggungjawab.

"Itu undang-undang yang telah ditetapkan, zaman Hitler dulu, orang-orang dia, kabinet dia semua ditangkap dihukum dan digantung. Itu kolektif serius," katanya.

Tengku Razaleigh ditemui di kediaman merangkap pejabatnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur lewat petang semalam.