TELUK INTAN 13 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini menyempurnakan Istiadat Menziarahi Makam.

Istiadat tersebut antara yang perlu disempurnakan dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara tiba di makam terakhir iaitu makam Sultan ke-22, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I di Kampung Durian Sebatang di sini kira-kira pukul 2.45 petang.

Sebanyak lapan makam dan satu batu peringatan Almarhum-Almarhum Sultan Perak diziarahi Baginda berdua hari ini termasuk lima makam yang terletak di tepi Sungai Perak di Batu Gajah.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara menaiki Balai Gambang yang diberi nama Cempaka Sari menyelusuri Sungai Perak untuk menziarahi makam-makam tersebut.

Istiadat Menziarahi Makam bermula 8 Mei lalu dengan Baginda berdua menziarahi 32 makam dan dua batu peringatan Almarhum-Almarhum Sultan Perak - UTUSAN ONLINE