KUALA LUMPUR 8 Ogos – Pendaftaran Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang bermula hari ini ternyata menarik minat para pencarum yang membanjir semua 68 cawangan pejabat pengurus dana persaraan itu di seluruh negara.

Bukan sahaja pencarum beragama Islam, malah, dana patuh syariah baharu itu turut menarik minat pencarum bukan Islam kerana percaya kaedah tersebut mampu memberi pulangan terjamin.

Tinjauan Utusan Malaysia di Ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, di sini mendapati para pencarum sanggup menunggu giliran sejak pukul 7 pagi sehinggalah pejabat pengurus dana persaraan itu dibuka kira-kira 45 minit kemudian.

Paling mengujakan apabila lebih 5,000 pencarum KWSP di seluruh negara membuat pendaftaran berkenaan dalam tempoh 30 minit kaunter dibuka.

Turut kelihatan pencarum terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) yang datang dengan berkerusi roda dan bertongkat untuk mendaftar dalam skim dana persaraan terbaharu tersebut.