Tiga saksi akan dikemukakan oleh pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips bagi memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin.

Peguam Bilal Philips, Meor Amin Meor Omar Baki memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, Zamihan sebagai defendan pula akan mengemukakan tiga saksi bagi memberi keterangan.

Mahkamah menetapkan 31 Julai sehingga 2 Ogos ini untuk perbicaraan.

Bilal Philips selaku plaintif mengemukakan saman terhadap Zamihan kerana mendakwa defendan memfitnahnya melalui posting bergambar yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, tahun lalu dengan mengaitkannya sebagai penyokong keganasan antarabangsa.