Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengekalkan kedudukannya sebagai presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) walaupun tidak mempertahankan jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu akan datang.

"Tak apa, (walaupun) tak ada kedudukan saya sebab kita rasakan dalam Pakatan Harapan (peranan) saya akan diteruskan," katanya.

Anggota parlimen Pandan itu berkata PKR belum membuat sebarang keputusan untuk menghapuskan jawatan ketua umum yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 2007.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau menyerahkan kepada ahli parti untuk memutuskan sama ada PKR perlu mengekalkan jawatan ketua umum.
"Pada tahun 2007, kami memutuskan untuk mewujudkan jawatan ketua umum dalam kongres parti 2007 kerana Anwar tidak dapat memegang sebarang jawatan parti.

"Sekarang, Anwar dan Wan Azizah boleh memegang mana-mana jawatan parti, jadi marilah kita kembali kepada struktur parti," kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada akar umbi untuk memutuskan sama ada mereka mahu mengekalkan jawatan tersebut dan PKR perlu membincangkan perkara itu.