Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada surat serupa yang dihantar kepada Pengarah CIA, Gina Haspel turut dikirimkan ke negara lain menjelang pilihan raya umum yang lalu.

"Kami tidak mahu ini menjadi seperti 1MDB. Pada mulanya, tiada siapa yang mahu mengakui tetapi kemudian, ia telah didedahkan beberapa orang menerima dana tersebut.

"Adakah terdapat lebih banyak surat? Ini mesti disiasat juga," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Lim berkata pihak berkuasa perlu melakukan siasatan menyeluruh berhubung surat yang dihantar kepada CIA memandangkan ia melibatkan kedaulatan negara.

"Akan timbul banyak soalan, tentang surat ini. Bagaimana surat ini boleh dikeluarkan, atas arahan siapa dan bolehkah seorang pegawai buat surat demikian tanpa arahan daripada orang atas.

"Ini adalah suatu isu yang harus disiasat dengan lebih teliti kerana ia menyentuh kedaulatan negara," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa surat berkenaan ditulis oleh Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid.

Surat berkenaan bertujuan mendapatkan sokongan Amerika Syarikat (AS) sekiranya BN memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei dengan majoriti tipis.

Berikutan itu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau mengarahkan supaya surat itu ditulis, malah mengakui terkejut dengan kewujudannya.