Bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid kini bimbang terhadap moral pegawai agensi terbabit, kata peguamnya Shaharudin Ali.

Kata Shaharudin, kebimbangan itu berlaku ekoran kebocoran surat yang ditulis Hasanah kepada Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Gina Haspel beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

"Moral dan keyakinan pegawai MEIO di seluruh negara sekarang goyang.

"Mereka berada dalam keadaan ketakutan dan teragak-agak untuk berkongsi maklumat risikan kerana bimbang (identiti) terdedah," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur petang ini.

Shaharudin berkata ini kali pertama kewujudan MEIO didedahkan sejak ia ditubuhkan pada 1960-an.

Tambahnya apa yang berlaku kini juga menandakan kali pertama dokumen berkaitan agensi terbabit dibocorkan.

Menurut peguam itu MEIO mempunyai lebih 1,000 pegawai perisikan yang beroperasi di seluruh negara.