Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 akhirnya akan diwartakan tahun ini selepas sekian lama tertangguh, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Pelan tersebut yang meletakkan garis panduan untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meluluskan projek pembangunan disediakan pada 2005 dan dipinda pada 2015.

"...Telah disiapkan bagi tujuan pewartaan pada April 2015, malangnya pewartaan telah ditangguhkan oleh pentadbiran lama," katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya berkongsi kekecewaan (atas kelambatan), tetapi saya pun tidak dapat apa-apa penjelasan mengapa ia tidak diwartakan," katanya ketika menjawab soalan Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) berhubung sama ada beliau dimaklumkan tentang sebab penangguhan.

Khalid berkata lagi, banyak pembangunan melanggar garis panduan dalam pelan tersebut, mengundang pelbagai andaian oleh banyak pelbagai pihak.
DBKL akan mengumpul semua pelanggaran pelan itu sejak 2015 bagi tujuan rujukan, katanya lagi.

Berkenaan urus niaga meragukan dalam penjualan 64 plot tanah DBKL, beliau berkata jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu akan menghantar syor kepada perdana menteri untuk kelulusan.

Katanya, antara syor jawatankuasa adalah untuk mengambil semula sebahagian tanah itu dengan pembatalan kontrak, manakala sebahagian lagi diteruskan sama ada dengan penambahbaikan dan menurut kontrak asal.

Katanya, sebarang kelemahan dalam pelan bandaraya itu akan diambil kira dalam perangkaan pelan struktur dan pelan tempatan 2020-2040 yang akan diwartakan pada akhir 2020.