Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membuka semula tender projek Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kerana bayaran pampasan akan menjadi terlalu tinggi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Jika batalkan projek, kita perlu membayar pampasan RM4.2 bilion dan kita benar-benar memerlukan projek LRT3,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican (BN-Umno Kepala Batas) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Reezal Merican bertanya sama ada kerajaan akan membuka semula tender projek terbabit.

Lim berkata, penjimatan kos projek berkenaan tidak akan menjejaskan kualiti perkhidmatan LRT apabila siap sepenuhnya.

Jelasnya, penjimatan dan rasionalisasi kos pembinaan LRT3 sehingga hampir 50 peratus telah mengambil kira faktor saling menguntungkan (menang-menang) semua pihak yang terlibat.

Sebagai langkah penjimatan, Lim antara lain berkata projek LRT3 sepanjang 37 kilometer akan hanya melibatkan pembelian 22 set 3-koc berbanding 42 set 6-koc sebelum ini dan tempoh siap pembinaan dilanjutkan daripada 2020 ke 2024.

Lim menyifatkan penjimatan kos projek berkenaan yang kini dianggarkan hanya sebanyak RM16.63 bilion berbanding sebelum ini RM31.65 bilion, adalah satu kejayaan besar kerajaan Pakatan Harapan.