Dewan Rakyat hari ini bersetuju melantik seorang anggota parlimen dari Umno mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selepas usul mengenainya dibentang dan diluluskan tadi.

Nama Datuk Ronald Kiandee diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew.

Untuk jawatan timbalan pengerusi PAC pula ia diisi oleh Wong Kah Woh (HARAPAN-Ipoh Timur).

Usul Liew itu kemudian disokong timbalannya Hanipa Maidin.

"Saya sokong dan saya ucapkan tahniah," kata Hanipa disambut oleh ketawa Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

"Ia belum dibahaskan dan diputuskan lagi, yang berhormat," kata Mohamad Ariff.

Usul itu kemudian dibentangkan dan diterima anggota dewan.

Untuk rekod Ronald, 57, ialah bekas timbalan speaker Dewan Rakyat semasa BN memerintah Malaysia. Beliau kini mewakili kerusi Beluran dan antara anggota parlimen yang paling aktif berbahas.

Langkah melantik anggota parlimen pembangkang mengetuai PAC itu menjadi satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan menjelang PRU ke-14 lalu.

PAC ialah badan semak dan imbang kepada kerajaan. Ia diberi kuasa untuk memeriksa pengurusan kewangan kerajaan serta sebarang isu yang difikirkan jawatankuasa itu patut disemak.

Undang-undang membenarkan PAC dianggotai antara enam hingga 12 orang ahli majlisnya.

Sebelum ini nama ketua pembangkang yang juga bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) disebut-sebut untuk menjadi pengerusi PAC.

Bagaimanapun menurut Liew Ahmad Zahid menolak tawaran berkenaan dan mencadangkan nama Ronald.

Semasa era pentadbiran BN lalu jawatan pengerusi PAC diberikan kepada Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin).