Kerajaan akan 'mencairkan' kapal persiaran mewah Equanimity dan dana yang diperolehi daripadanya akan dijadikan simpanan tetap jika tiada sesiapa mengemukakan tuntuan dalam tempoh dua atau tiga bulan.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata prosedur itu akan dilaksanakan melalui Mahkamah Tinggi Admiralti di Kuala Lumpur.

Katanya kerajaan akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan arahan yang perlu selepas mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Equanimity supaya ia dapat dibawa ke Malaysia.

"Jika Jho Low mahu mengemukakan tuntutan ke atasnya, dia perlu melantik peguam Malaysia bagi mencabar keputusan berkenaan," katanya.

Kapal persiaran itu - dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion - dikaitkan dengan ahli perniagaan muda dan kontroversi Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dia didakwa membeli kapal berkenaan dengan dana yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Ia ditahan pihak berkuasa Indonesia ketika berlabuh di Teluk Benoa, Bali, pada akhir Feb lalu.

Ia tiba dan berlabuh di Pelabuhan Kelang sejak minggu lalu.

Kata Thomas, kerajaan Malaysia menyita kapal berkenaan melalui proses perundangan yang sepatutnya dan ia turut dipersetujui pihak berkuasa AS dan Indonesia.

Menurut Thomas, proses mencairkan Equanimity menjadi wang tunai dianggarkan mengambil masa dua atau tiga bulan dengan melibatkan perintah mahkamah, kecuali ada mana-mana pihak mencabarnya.