Pelantikan bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand disambut baik menteri pertahanan.

Mohamad Sabu berkata Abdul Rahim mempunyai pengalaman luas dalam selok belok kawasan terbabit.

“Rahim Noor orang yang ditugaskan di zaman Tun Mahathir untuk berunding dengan komunis di Hatyai sehingga berjaya dapat tandatangan perjanjian damai pada 1989.

“Jadi saya fikir beliau mempunyai pengetahuan berkenaan kawasan tersebut dan saya yakin perdana menteri melihat dari sudut kebolehan dan keupayaan itu, maka diberikan tugas itu kepada beliau,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2018, di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Rahim dilapor dilantik sebagai fasilitator baru untuk proses perdamaian di selatan Thailand baru-baru ini.

Bagaimanapun ia mendapat bantahan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dengan menyifatkan Abdul Rahim sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah."

Izzah merujuk kepada Anwar yang diserang ketika dalam tahanan polis selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Gambar mata lebamnya menjadi salah satu simbol gerakan Reformasi.

Mengulas lanjut bantahan anggota parlimen Permatang Pauh itu, Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu menyifatkan ia hanya pandangan peribadi.

“Itu pandangan dia (Izzah), kita ini negara demokrasi, jadi kita bebas untuk memberi pandangan masing-masing,” tambahnya.