Kementerian Kesihatan hari ini menjelaskan perkhidmatan imunisasi turut diberikan kepada semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak tanpa dokumen di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun, kanak-kanak yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri sebagai warganegara akan dikenakan bayaran perkhidmatan imunisasi berdasarkan Pelaksanaan Caj Fi Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014.

"Caj bayaran yang dikenakan kepada kanak-kanak yang tiada dokumen adalah sebanyak RM40 untuk pendaftaran, perundingan dan ubatan (untuk lima hari) dan tambahan RM40 untuk imunisasi.

"Perkhidmatan vaksinasi ini disediakan di semua fasiliti kesihatan KKM kecuali di Klinik Komuniti," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang meminta kementerian menjelaskan prosedur untuk memastikan kanak–kanak yang lahir di Malaysia tetapi tidak memiliki dokumen lengkap seperti surat beranak diberikan vaksin.