Sekumpulan besar Anggota Parlimen Umno Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mereka termasuk Anggota Parlimen Beluran, Ronald Kiandee; Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri; Anggota Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun dan Anggota Parlimen Libaran, Zakaria Mohd Edris.

Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa juga dikatakan meninggalkan parti itu tetapi tidak hadir pada sidang akhbar untuk mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu petang ini.

Hafez merupakan anak kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

Dengan perkembangan tersebut, Musa merupakan salah seorang daripada dua anggota parlimen di Sabah yang masih bersama Umno selain Anggota Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin.

Tindakan empat anggota parlimen itu menjadikan bilangan keseluruhan kerusi parlimen Umno kini tinggal 44 kerusi.

Bagi kerusi DUN Sabah pula, Umno kini hanya memiliki satu kerusi berbanding 17 yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu.

Kerusi berkenaan ialah Sibuga yang dipertahankan Musa.

Sementara itu, timbalan presiden PBRS dan Anggota Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup juga mengumumkan peletakan jawatan dalam BN pada hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain menafikan spekulasi bahawa Umno negeri itu akan dibubarkan.

Beliau berkata spekulasi itu dilakukan musuh politik Umno yang cuba memecahbelahkan akar umbi parti itu.