Kementerian Pengangkutan hari ini menyatakan kesediaan menjadi perantara bagi membantu meleraikan pertikaian antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Kumpulan AirAsia membabitkan caj perkhidmatan penumpang (PSC).

Menterinya, Anthony Loke berkata ini penting dalam usaha meredakan ketegangan selain memastikan perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

"Saya mahu kedua-dua pihak duduk berbincang. Ya, kami akan menjadi orang tengah dan berharap ia akan menghasilkan situasi yang harmoni.

“Pertikaian ini perlu dileraikan. Apa juga isu yang timbul, ianya harus ditangani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan “Happy Guest, Caring Hosts Service Culture" dan “Senior Citizen and Family-Friendly” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini.

Pertikaian itu menyaksikan anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia Bhd yang juga unit AirAsia Group serta penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd dengan mengemukakan saman masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta membabitkan PSC.

PSC dibayar oleh penumpang yang berlepas dan dikutip oleh syarikat penerbangan menerusi pembelian tiket sebelum diserahkan kepada MAHB. - Bernama