Bekas perdana menteri Najib Razak berkata hakim yang mengumumkan keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon BN di Cameron Highlands pada PRU ke-14 mengkategorikan duit minyak sebagai rasuah.

Dalam kenyataan di Facebook, Najib berkongsi laporan Malaysiakini bertarikh 30 Nov yang memetik Hakim Mahkamah Pilihan Raya Azizah Nawawi.

"Tak kira pemberian itu dalam bentuk duit minyak atau duit rokok, ia tetap rasuah," kata hakim itu seperti dipetik dalam laporan berkenaan.

Kenyataan Najib itu merujuk kepada penjelasan Pakatan Harapan (PH) berhubung gambar yang memaparkan individu memakai baju kempen PH Cameron Highlands mengagihkan wang.

PH sebelum ini menjelaskan bahawa pihaknya hanya membayar balik wang minyak kepada sukarelawan yang membantu pada hari penamaan calon.