Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Datok, Loh Chee Heng, hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membuat tuntutan palsu daripada kerajaan Selangor.

Loh yang dipecat serta-merta daripada DAP pada Mei 2016 didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi mengadakan program Pesta Tanglung pada 2015.

Nilai tuntutan itu ialah sebanyak RM20,000.

Tertuduh juga didakwa membuat permohonan dana sebanyak RM13,380 bagi mengadakan sambutan Hari Guru 2015 bagi kawasannya.

Bagaimanapun menurut kertas pertuduhan hari ini, kedua-dua program tersebut tidak diadakan.

Pertuduhan ke atas Loh, 41, yang dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibacakan di depan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail.

Tertuduh diwakili peguam bela Keppy Wong, manakala Mohamad Suffian Ja'afar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Loh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pada 14 Mei 2016 Malaysiakini melaporkan Jawatankuasa Disiplin DAP memecat Loh selepas didapati bersalah menyalahgunakan peruntukan kerajaan negeri.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, jawatankuasa itu mengarahkan DAP Selangor menjalankan siasatan dalaman selepas menerima aduan bertulis pada Mac 2016 terhadap Loh.

"Siasatan dalaman oleh jawatankuasa DAP Selangor mendapati ada asas terhadap dakwaan itu, iaitu terdapat bukti salah laku di pihak Loh," katanya.

Pagi tadi hakim menetapkan 25 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes berkenaan.

Loh juga dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Dia juga diarah menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah.