Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menafikan dakwaan yang menuduh beliau dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan menganugerahkan projek membersihkan sungai tanpa melalui proses tender yang telus.

Dalam perjumpaan dengan media, Khalid berkata bagi projek-projek yang mempunyai lebih daripada satu pembida, cabutan nombor biasanya akan dilakukan bagi memilih kontraktor.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan penulis blog Zaharin Mohd Yasin yang menuduh beliau menganugerahkan projek pembersihan sungai itu dengan tidak melalui proses yang telus.

Penulis blog itu sebelum ini memuat naik di media sosial senarai kontraktor yang dikatakan dianugerahkan kontrak membersihkan sungai dan tasik di Kuala Lumpur.

Khalid turut berkata bahawa pihaknya akan menyaman penulis blog berkenaan berhubung tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Selain itu, Khalid turut mempersoalkan sama ada berlaku kebocoran maklumat dari pihak dalaman sehingga senarai kontraktor berkenaan disebarkan.

Tambah Khalid, mengikut yang difahamkan kepadanya, proses cabutan berkenaan dibuat bagi memecahkan "kartel" yang dikawal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam menganugerahkan kontrak.

Kata Khalid lagi, beberapa syarikat yang mesra BN sebelum ini dilihat mudah mendapatkan projek berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan 30 kontraktor yang sama dianugerahkan projek membersihkan sungai bernilai RM2 juta setiap tahun.