Aktivis politik, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membidas dakwaan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membayar yuran guaman editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin merujuk kepada suatu poster yang memaparkan dakwaan berkenaan yang menyebut sumber maklumat datang daripada dirinya.

Beliau mempersoalkan masa poster itu disebarkan. Poster itu juga mendakwa Mahathir membayar Rewcastle-Brown sebanyak RM10 juta bagi mengeluarkan bahan pada laman web Sarawak Report.

Khairuddin turut menyifatkan poster itu sebagai "fitnah" dari golongan "yang sudah bankrap buah fikiran."

Beliau juga mempersoalkan kenapa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta penyelesaian di luar kamar mahkamah sekiranya selama ini parti itu mendakwa Clare Brown memfitnah mereka?

Khairuddin merujuk keputusan PAS untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah selepas memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown mengenai tulisan yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada BN.

Rewcaslte-Brown berkata beliau tidak perlu menarik balik artikel berkenaan walaupun saman PAS telah diselesaikan di luar mahkamah.

PAS menjelaskan tindakan menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah kerana kos guaman yang tinggi dan tidak mahu "membebankan" anggotanya.