Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Sarawak Report tidak ada bukti mengenai dakwaan BN membayar parti itu sebanyak RM90 juta bagi menarik sokongannya.

Memetik Sinar Harian, katanya ini selepas PAS menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown melalui penyelesaian di luar mahkamah berhubung penerbitan suatu artikel.

Clare Rewcastle-Brown, berkata dia berpuas hati dengan penyelesaian luar mahkamah dalam saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadapnya kerana beliau tidak perlu membuang artikel tersebut dari laman itu.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata sama ada artikel itu diturunkan atau tidak daripada laman Sarawak Report ia tidak patut dipersoalkan lagi.

Beliau diminta mengulas mengenai artikel berkenaan yang kekal di dalam talian selepas PAS membatalkan saman fitnah itu.

Rewcastle-Brown, pertama kali mendedahkan skandal 1MDB, mendakwa dalam artikel 6 Ogos 2016 bahawa Najib menarik sokongan PAS menjelang pilihan raya umum dan sejumlah RM90 juta telah mengalir ke dalam akaun para pemimpin tertingginya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang kemudian menyaman Rewcastle-Brown di mahkamah London pada 21 April 2017 berhubung dakwaan tersebut.