Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan baru membabitkan pecah amanah.

Memetik Bernama, Zahid yang kini bercuti daripada tugas sebagai presiden Umno didakwa berhubung dana bernilai RM260,000 milik Yayasan Akal Budi.

Dakwaan itu dikatakan berlaku kira-kira tiga tahun lalu dan pertuduhan hari ini dijalankan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di depan hakim Azura Alwi.

Sebelum ini beliau sudah dikenakan 46 tuduhan membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

Ia menjadikan Ahmad Zahid sebagai tokoh berprofil tinggi dari era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang paling banyak dikenakan tuduhan.

Melalui pertuduhan terkini Ahmad Zahid didakwa - sebagai pemegang amanah Yayasan Akal Budi - secara curang membuat pembayaran sebanyak RM260,000 kepada sebuah syarikat, TS Consultancy & Resources.

Atas tindakannya itu Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak kurang dari 20 tahun dan sebatan serta denda.

Azura kemudian menetapkan 28 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.