Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar murka dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang.

Baginda, yang kesal dengan insiden itu bertitah, pihak berkuasa perlulah melakukan siasatan secara menyeluruh sekaligus mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Sultan Johor dalam masa yang sama turut melahirkan penghargaan terhadap pasukan perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada mereka yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Disebabkan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah ada yang bertarung nyawa dalam ICU!

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya, “ titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office (RPO) menerusi Facebook rasmi baginda di Johor Bahru.

Sultan Ibrahim turut menasihati orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan kejadian supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

“Sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru. Kurangkan juga seberapa banyak pergerakan di luar,” titah baginda. - Bernama