Tidak lama selepas lapan bekas wakil rakyat Umno Sabah menyertai Bersatu secara rasmi, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyuarakan sokongannya terhadap peggubalan undang-undang antilompat parti.

Merujuk perkembangan itu secara tidak langsung, Bung yang juga pengerusi Umno Sabah berkata beliau setuju dengan cadangan Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung penggubalan undang-undang itu.

"Saya memang syorkan parlimen bawa satu undang-undang antilompat agar tak ada lagi lompat-melompat, macam katak, monyet," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bung menyifatkan mereka yang beralih parti sebagai tiada maruah dan kekuatan dalam perjuangan mereka.

"Kita boleh jual dan gadai banyak benda, tetapi orang tua saya kata jangan sesekali jual maruah."

Bagaimanapun Bung berkata Umno Sabah tidak goyah dengan perkembangan itu dan malah "mengalu-alukannya".

"Kami percaya rakyat, penyokong Umno di Sabah tak ikut melompat. Ingat kata-kata saya, PRU akan datang Umno akan tawan balik Sabah," katanya.

Pada PRU ke-14, Warisan yang dipimpin bekas naib presiden Umno Mohd Shafie Apdal berjaya mengalahkan BN di Sabah.

Minggu lalu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad secara rasmi menerima keanggotaan empat MP, empat ahli Dewan Negara dan dua adun daripada Umno Sabah.

Ini menjadikan Bersatu kini memiliki 26 MP dan PH memegang 129 kerusi di Dewan Rakyat.

BN pada mulanya menang di 79 parlimen pada PRU ke-14, tetapi angka itu kini menurun kepada 41 parlimen.