Bekas ketua polis negara, Musa Hassan menyifatkan Akta Hasutan 1948 sebagai alat penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini yang perlu dikekalkan bagi menjamin keharmonian negara.

Justeru, katanya, pihak polis masih boleh menggunakan akta berkenaan untuk menyiasat tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara, termasuklah tindakan menghina.

"Menteri Dalam Negeri kata Akta Hasutan masih ada dan pihak polis masih boleh menggunakan akta berkenaan untuk menjalankan siasatan ataupun sebarang tindakan.

"Dalam situasi negara sekarang penting adanya Akta Hasutan untuk pastikan semua kaum bersatu, tidak ada hina-menghina antara satu sama lain, kita bukannya mahu bergaduh.

"Penting, semua ini perlu ada (Akta Hasutan)," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur, hari ini.