Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming berpendapat Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Ronald Kiandee perlu diberi masa untuk menyelesaikan tugasnya dalam jawatankuasa itu sebelum digantikan.

Nga, yang juga merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat berkata, dia percaya kabinet akan menggantikan Kiandee pada masa yang sesuai.

"Perlu ada masa yang betul, banyak kes yang (PAC) sedang tangani (ketika ini)," kata Nga kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Gesaan untuk Kiandee meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC sebelum ini dibuat kerana manifesto PH berjanji untuk memastikan jawatan itu disandang pembangkang.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada mulanya memberi gambaran bahawa Kiandee tidak akan ditukar meskipun selepas menyertai parti komponen kerajaan.

Bagaimanapun, semalam Dr Mahathir berkata Kiandee akan memegang jawatan itu sementara kerajaan mencari pengganti.

Sementara itu, Nga menyatakan keyakinan bahawa Dr Mahathir akan memegang janji dalam manifesto PH dan menggesa orang ramai memberi perdana menteri itu masa berbuat demikian.

"Saya fikir perdana menteri sangat sibuk. Beliau baru pulang dari lawatan rasmi ke Pakistan," katanya.