Naib Presiden Umno, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerjasama Umno dan PAS sebagai ‘jihad’ bukan membawa maksud perang.

“Perkataan jihad itu sendiri merujuk kepada ‘perjuangan’.

“Jihad membawa erti perjuangan, ia tidak ada kena mengena dengan perang. Orang ramai salah anggap.

“Tidak, jihad bermaksud perjuangan, perjuangan dalam ekonomi dan pendidikan,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Semalam, menurut laporan dari The Malaysian Insight, Ismail berkata perjanjian kedua parti tersebut adalah satu jihad untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan menjadi kerajaan anti Melayu dan Islam.

Tambahnya, ketika tempoh menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), beliau pernah mengumumkan ‘jihad’ tetapi tiada siapa yang berperang atau ditembak mati.

Malah, Ahli Parlimen Bera itu juga merujuk kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pernah melancarkan ‘jihad pendidikan’ ketika menjadi Menteri Pendidikan sewaktu zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Saya jamin jihad Umno dan Pas tidak akan menjejaskan orang bukan melayu serta orang bukan islam,” tambahnya.