Ahli parlimen DAP Ngeh Koo Ham berkata Ismail Sabri bukan seorang yang berkaliber kerana "tidak bertaubat" meski sudah mengaku memfitnah.

Ngeh berkata demikian sebagai merujuk keputusan mahkamah semalam yang mengarahkan naib presiden Umno itu membayar pampasan RM80,000 selain kos RM5,000 kerana memfitnah Ngeh sebagai anti-Islam.

"Ketua pembangkang mengaku pemimpin DAP bukan anti-Islam atau anti-Melayu. Dia mengaku memfitnah saya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ngeh berkata, susulan pengakuan itu, maka tiada perbicaraan penuh yang akan diadakan berhubung samannya ke atas Ismail Sabri.

"Dia tidak mempelajari kesilapan. Orang yang buat silap terpaksa bayar saya RM80,000 , dia tak bertaubat, kalau orang betul-betul Islam (apabila dia) silap, dia bertaubat.

"Tapi dia (Ismail Sabri) tak bertaubat, sebab itu saya perlu adakan sidang media ini untuk tunjukkan beliau bukan seorang yang berkaliber," katanya.

Tambah Ngeh yang juga merupakan ahli parlimen Beruas, kenyataan Ismail Sabri bahawa kerjasama Umno-PAS adalah jihad terhadap kerajaan PH hanyalah percubaan menakutkan orang Melayu.

Ismail Sabri sebelum ini menuduh kerajaan PH sebagai anti-Islam dan anti-Melayu dalam sebuah program.

Ismail Sabri enggan memohon maaf dan menjelaskan bahawa istilah jihad yang digunakannya tiada kena-mengena dengan perang dan merujuk kepada "perjuangan".