Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tiga sesi ceramah malam tadi menjelaskan mengapa beliau memilih Dr S Streram dan bukan Melayu sebagai calon dalam pilihan raya kecil DUN Rantau.

Walaupun nada ucapannya berbeza- bergantung sama ada sesuatu ceramah itu lebih ramai Melayu atau sebaliknya- Anwar menjelaskan empat perkara utama mengapa Streram dipilih iaitu:

- Untuk mengotakan janji meletakkan seorang calon India di Rantau.

- Orang Melayu tidak terancam kerana jawatan menteri besar Negeri Sembilan dan perdana menteri milik orang Melayu.

- Usaha Streram memfailkan petisyen pilihan raya yang membawa kepada pilihan raya kecil itu; dan

- Menghargai misi kemanusiaan Streram untuk umat Islam di Sudan dan Afghanistan.

Keputusan Anwar meletakkan Streram sebagai calon tidak diterima secara meluas, termasuk dari dalam partinya sendiri.

Ini selepas BN berjaya memenangi dua pilihan raya kecil lalu, yang sebahagian besarnya hasil daripada kerjasama PAS dan isu melibatkan sentimen Melayu-Islam.

Bagaimanapun, Anwar berkata Streram dipilih memandangkan PKR telah berjanji untuk meletakkan calon India di Rantau pada pilihan raya umum ke-14, sebagai pertukaran untuk meletakkan calon Melayu di Jeram Padang.