Peluasan Bersatu ke Sabah dilakukan kerana ramai bekas ahli Umno di negeri itu yang mahu menjadi anggota baru parti tersebut, kata Dr Mahathir Mohamad.

Kata pengerusi Bersatu itu, sedari awal pembentukan parti itu dua tahun lalu, ia sudah menerima banyak permintaan untuk penubuhan cabang Bersatu di Sabah.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, kepimpinan parti pada ketika itu berpendapat ia bukanlah waktu yang sesuai untuk berbuat demikian.

“Waktu ditubuh (dulu), sudah ada orang-orang Sabah menyatakan keinginan mereka untuk bersatu dengan Bersatu. Tetapi pada masa itu kita berpendapat belum tiba masanya untuk kita datang ke Sabah.

“Kerana kita takut ada kepincangan yang boleh jejaskan prestasi kita dalam Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dalam ucapan semasa majlis perasmian Bersatu Sabah di Penampang hari ini.

Menurut Dr Mahathir lagi, selepas pertukaran kerajaan di peringkat pusat dan negeri, barulah jelas bahawa bahawa ramai anggota Umno menyimpan niat meninggalkan parti.

Anggota-anggota Umno itu, katanya, kemudian mencari parti baru kerana mereka masih mahu terus berkhidmat kepada negara.

"Mereka boleh sertai parti-parti dalam PH, tapi kita dapati yang teramai sekali yang berminat untuk bersama-sama dengan PH adalah mereka yang ingin menjadi ahli Bersatu.

“Ramai adakan rombongan ke Kuala Lumpur untuk yakinkan khususnya Bersatu supaya mereka juga dapat menyertai parti ini. Berkali-kali mereka datang untuk menyatakan keikhlasan mereka untuk menjadi ahli Bersatu.

“Kita menunggu sekian lama, sudah hampir satu tahun PH memerintah, tetapi inilah masanya yang kita berpendapat sudah tiba untuk kita tubuhkan parti Bersatu di Sabah,” tambahnya lagi.