Menteri Kewangan Lim Guan Eng malam ini berkata kerajaan ada "berita sangat baik" untuk Negeri Sembilan berhubung pembinaan Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Kata Lim jika rundingan Putrajaya dan Beijing membuahkan hasil jajaran laluan ECRL itu akan diubah suai dan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan.

"Ini berita baik bukan saja untuk negara kita, tetapi juga untuk Negeri Sembilan.

"Saya sebut kerana projek ini, jajarannya akan diubah dan ia bagus untuk Negeri Sembilan," katanya semasa berucap dalam kempen PH.

PRK Rantau akan diadakan pada 13 April ini dan PH berdepan cabaran sukar merampas kerusi DUN berkenaan yang sebelum ini diwakili bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan.

Beliau juga kini memangku tugas presiden Umno selepas penyandangnya Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan bercuti akhir tahun lalu.

Kata Lim jika penduduk Negeri Sembilan mahukan khabar gembira itu menjadi kenyataan mereka perlu memberikan sokongan agar PH mampu menubuhkan kerajaan yang baik.

Bagaimanapun anggota parlimen Bagan itu tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai maksud kenyataannya.