Kerajaan akan mengemukakan pindaan lain dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung status Sabah dan Sarawak pada masa akan datang, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Dr Mahathir, perkara itu dapat dilakukan selepas pindaan Usul Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan diluluskan parlimen yang sedang bersidang ketika ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan 2019 di peringkat dasar.

Sebelum ini, pembangkang termasuk BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) menggesa agar RUU itu dirujuk kepada jawatankuasa terpilih Parlimen untuk kajian terperinci.

Pemimpin pembangkang menyifatkan langkah kerajaan persekutuan untuk hanya meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan "tidak bermakna" dalam memperkasa kedudukan Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, dalam ucapannya hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan akan meminda RUU itu di peringkat jawatankuasa, untuk menyelaraskannya dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan terbaru itu akan mengembalikan perkataan "negeri-negeri Malaya" dan "negeri Borneo" dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Mahathir.

Pengerusi PH itu juga berkata pentadbiran lama sebelum ini gagal mengemukakan pindaan yang diperlukan untuk Perlembagaan Persekutuan di parlimen.